Pitutur guru sejati tiga belas
Pitutur guru sejati tiga belas
41. Wahai tuan yang kusayangi, jikalau sungguh engkau
pemburu kesedaran ketuhanan engkau mestilah menyerahkan kehidupanmu,
keinginanmu dan segala urusan kebendaanmu kepada Tuhan seru samesta alam ini.
42. Ingin aku berpesan padamu dan juga diriku sendiri wahai
kawan, jika kau sudi kau lakukanlah suatu sebutan suci mulia iaitu `Allah`. Ia
adalah sultanul Asma`. Satu nama Tuhan yang agung yang serba mencakupi (al ism
al-jami`). Jika kau sanggup melantuninya sebanyak 4,000 kali setiap hari tanpa
putus-putus selama dua purnama kemungkinan besar engkau akan memiliki
kualifikasi menggapai suatu pengalaman spiritual yang tidak seorang pun
meyangkakannya.
43. Wahai diriku dan dirimu, jangan engkau berpaut di dahan
nan rapuh (makhluk) kerana segala sesuatu selain Dzat Tuhanmu merupakan suatu
fatamorgana tidak kukoh. Ia akan selalu sering berubah ubah. Hari ini si dia
berada di samping mu penuh cinta dan rindu puja puji padamu… tapi hari esok
mungkin engkaukan terluka lara pula oleh tindakan dan kebenciannya padamu serta
cela kejinya pula. Berpegang teguhlah pada Maha Perkasa dan Bijaksana Tuhanmu.
44. Sungguhnya kita tidak ketahui apakah takdirNya kapada
kita sebelum perkaranya terhadir. Maka tidak ada jalan lain untuk suatu
penyelamatan diri kecuali mengikuti perintah Tuhan dan bersandarlah sepenuh
jiwa kapada-Nya. Kerana Firman-Nya yang Maha Abadi:
`Kemudian kepada Tuhan mu lah kamu kembali` (Qs Al-An`am
:164)
45. Maksud `Khalifah Allah` samalah dengan `Insan kamil`.
Jika sesaorang yang tidak mencapai darjat ini ia hanyalah berdarjat `Haiwan
rasional` iaitu bukan `Manusia Sejati` berdarjat khalifatullah itu. Maka untuk
mencapai maqam manusia sempurna mestilah ada menempuh jalan spiritual iaitu
perjalanan ke alam batin dirinya dan kembali ke sumber asalnya.
46. Tahukah kawan bahawa setiap individu mengandungi `Ruh`
dalam dirinya.? Begitulah engkau dan aku yang datang dari Tuhan Maha Penguasa
semesta dan dibekali-Nya dengan pemilikan intelegensi sepertimana firman Tuhan
Yang Maha Mulia:
`Dan kami telah memberikan kepada mereka pendengaran,
penglihatan dan hati` (QS Al-Ahqaf: 26). Maka marilah kita berterima kasih
kepada-Nya. Ketahuilah bahawa Roh Insaniah dibekali dengan tujuh sifat yang
perlu dipelihara oleh setiap orang daripada kita yang mengaku Allah Tuhan kita
iaitu: kepercayaan, cinta, pengetahuan, kesabaran, ingin kedekatan (dengan
Tuhan), sifat permanent, dan kehidupan….
47. Katakanlah sebagai terimakasihmu, `Bahawa akulah yang
mempamerkan indahnya kelembutan Tuhan. Sungguh Ialah Maharaja Yang Mulia tapi
aku hanyalah sebutir debu di kuburan’.
48. Hadis Rasul ada mengatakan: `Allah adalah indah dan
mencintai keindahan` satu arti dengan`Tidak ada keindahan lain selain keindahan
Tuhan` maksudnya keindahan yang hakiki hanyalah milik-Nya tetapi keindahan yang
lain hanyalah suatu fatamorgana yang majazi sahaja. Dan maksud Tuhan `mencintai
keindahan` ialah oleh kerana realitas segala hal yang memikat (indah) seperti
setiap inci kejelitaan tubuh si bidadari syurga dan kecomelan mata jelita nurul
`ain adalah perpanjangan dari kebijaksanaan-Nya. dengan salah satu firman
Tuhan:
`Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam’ (QS
Al-Isra`(17):70). Maka kewajiban seorang hamba hendaklah membalas cinta
penciptanya dengan membakar hangus dengan api cinta ketuhanan akan segala
realitas yang tidak sejati seperti hangusnya semak samun (Ruh) di Bukit Tursina
oleh Cinta Musa a.s. kepada Zat yang sejati.
49. Cinta memerlukan pengorbanan `Berkorban apa saja harta
(keduniaan serta nafsu haiwaniah) atau pun nyawa (bersihkan rohani) itulah
kasih mesra (cinta Ilahi) sejati dan mulia (menjejak mertabat insan kamil)`.
Cinta yang sungguh luhor membedakan kekasih yang sejati daripada kekasih yang
palsu, memotong segala yang ilusif dan tidak abadi dengan pedang kalimat
thoyyibah dan hendaklah hadapkan dirimu sepenuhnya kepada Sang Kekasih dan
ingatlah nama-Nya selalu mesrakan keseluruh maujud dan dalam jiwamu.
50. Hamba berpesan pada diriku dan dirimu, sedarilah bahawa
kesalahan yang terjadi kepada manusia kebanyakannya bukan sahaja masalah
kecintaan kepada kehidupan dunia dengan keduniawiaannya tetapi tertudung dek
ketidak mampuannya untuk merasakan bahawa segala sesuatu di dunia ini tidak
lain hanyalah bayangan kepada kekasih sejati.
Maka janganlah asyik mengejar bayangan atau pun gilakan
bayang fatamorgana saja, ini suatu kejahilan yang merugikan… marilah kita
jadikan juga diri kita ini manusia spritual dan kejarkanlah cinta Ilahi, itulah
hakikat tujuan hidup kita sebenar yang sejati untuk keberuntungan hidup di alam
abadi di samping Ilahi dan di dunia fana ini.
51. Semua orang tahu bahawa solat (sembahyang) itu otak
ibadat. Siapa yang meninggalkannya adalah meruntuhkan agamanya. Kalau begitu
tentulah sembahyang itu sesungguhnya suatu perkara agung meliputi banyak aspek
dalam hal agama dan makrifatullah.
Sembahyang juga perkara utama dalam penyempurnaan keagamaan
seseorang. Tetapi adakah setiap orang yang bersembahyang itu benar-benar
sembahyang? Setiap kita sewajibnya harus faham betul-betul mengenai perkara
menghadapkan diri rohani dan jasmani ke hadharat Kekasih atau Allah Yang Maha
Agung yang bertilik pandang pada kita ketika berada di majlisNya itu.
Jangan buat lebih kurang dan main-main saja dan janganlah
melakukan dengan tidak berilmu yang sempurna mencakupi ilmu syariat, tarikat,
hakikat dan marifat itulah empat unsur sempurna agama yang mesti dipelajari dan
difahami seseorang Islam dan mukmin mukminat untuk mencapai sebenar maqam
sempurna Islam, iman, tauhid dan ihsan.
Sesungguhnya amalan yang dipersembahkan kepada Tuhan kita
Allah s.w.t dengan cara seberono, ikut-ikutan, atau tanpa ilmu yang cukup
ditakuti menjadi sia-sia… tidak diterima dan hanya mendapat lelah saja.
Nauzubillahi min dzaalik.
Sembahyang itu ibaratnya sebuah kapal sedang berlayar yang
ingin menuju ke sebuah pangkalan indah. Maka isyarat badan kapal itu ialah
syarat dan rukun sembahyang yang tiga belas dengan sempurna. Muatan kapal yang
hendak diniagakan pula ialah sifat Ilahi yang tiga belas.
Tiang layarnya empat iaitu iman, Islam, tauhid dan maarifat.
Kain layarnya juga empat iaitu wahdatu zat, wahdatus-sifat, wahdatul asma,
wahdatul afaal. Ada pun tali utama layar kapalnya yang terkembang pula adalah
empat unsur kesempurnaan dalam pengertian beragama: syariat, thorikat, hakikat
dan makrifat dan tahu asas kejadian diri sendiri (semesta) si pelayar iaitulah
tanah, air, api, angin yang `membentuk gerakan` kapal.
Arah haluan kapalnya mestilah wahdaniah iaitu keesaan
(tauhid) dan kemudinya ialah marifat. Barulah sempurna kapal belayar dengan
musik merdu Alhamdu dan sama`nya wahyu. Mudah-mudahan tidaklah karam (syirik)
di tengah samudera dan selamat sempurnalah kapal berlabuh di pangkalan indah
(hadhrat Ilahi) ertinya sempurnalah ihram, munajat, tabaddul dan mi`raj.
Lalu tambatlah atau hulurkan sauhnya dengan tali tawwakkal
berserah kepada Tuhan yang disembah. Tapi yang paling pokok ialah mesti tahu
erti sebenar sembah menyembah siapa dan bagaimana hakikatnya yang menyembah dan
yang disembah, Subhanallahi amma yasifun wasalamamun alalmursalin
walhamdullillahi rabbil aalamin.
52. Salah satu buah hasilan sembahyang yang benar kau
laksanakan ialah kesedaran diri adalah hamba yang taat (patuh tunduk). Maka
jika engkau telah bersembahyang jangan lagi kau langgar apa yang diatur oleh
Tuhan dalam ciptaan-Nya. Biarkan sesuai dengan apa yang telah diatur-Nya.
Engkau lihatlah segala sesuatu dengan kaca mata yang sama dengan yang digunakan
Allah melihat segala sesuatu.
53. Zahidkan hatimu jangan engkau mengecam orang lain kerana
dosa orang lain tidak dicatat dalam buku amalanmu. Tapi boleh kau nasihati dia
kerana ada nasihat Tuhanmu kepadamu melalui wahyuNya, perhatilah makna surah
Al-Asr.
Itulah hablum minannas. Maka tanggungjawab hubungan sesama
manusia ini perlukan engkau mengambil peranan demi kabaikan ahli keluarga kamu,
jiran- jiran kamu, ahli masyarakat kamu, bangsa kamu, negara kamu dan dunia
kamu setakat yang terdaya olehmu walau pun sepatah kata yang baik.
54. pengertian dari sembahyang juga bermaksud, jangan engkau
menyembah berhalamu sendiri. Tahukah apa berhalamu ? Berhalamu adalah egomu
sendiri. Sahabatku, jangan kau simpan lagi berhalamu dalam dirimu hancurkan dia
sama sekali sebagaimana Sayyidina Ibrahim Khalilullah memusnahkan berhala Raja
Namrud!
55. Sembahyang juga mengajar engkau menjadi pencinta kepada
kekasih sejati sehingga engkau dan Dia bagaikan `sama` sungguh pun berbeda.
56. Andai kata engkau hilang (fana) dalam wujud, engkau
menjadilah bahagian (takluk) dari sifat-sifat Yang Maha Kuasa dan Maha Abadi.
Jika kau sungguh berada di tahap ini, kau kan berada di mana-mana kerana
lenyapnya `AKU` menyebabkan berkuasanya `DIA`. Ketika itu orang akan berkata
padamu `Pencinta dan yang dicinta adalah cerminan antara satu sama lain’.
57. Tahukah tuan bahawa `Cinta` adalah asas segala
perwujudan?
Api itu sebenarnya cinta yang menyala
Angin (udara) adalah gelora cinta
Air adalah gerak cinta
Bumi adalah keabadian cinta.
Api, angin, air, bumi itu adalah membawa gerak dalam setiap
rakaat sembahyang kamu dan adakah engkau aplikasikan maknanya dalam perbuatan
sembahyang kamu terhadap Yang di Cinta? Jika kau tahu bermakna engkau sudah
termasuk ke dalam golongan yang mengerti salah satu daripada maksud perbuatan
solat yang terpuji.
58. Saudaraku, jika kau menyelami lautan mistis kau
bersedialah untuk dilanda api cinta sungguh pun kau hangus dengan nyala-nya
tapi kau beroleh kegembiraan dan kebahagiaan luar biasa dari wajah Sang Kekasih
Sejati. Maka cubalah jadikan dirimu saorang kastria spiritual!.
59. Wahai kastria spiritual, cintamu perlukan pengorbanan,
kerana pengorbananlah melahirkan watak kesatriaan. Sebagaiman indahnya percikan
darah merah pada baju putih Sang pahlawan kembali dari medan tempur, begitulah
kau untuk berjuang bagi mendapat `Mata air kehidupan spiritual` yang abadi.
Pengorbanan itu senang saja menyebutnya tapi melaksanakan bergantung kepada
semangat juang dan kesaterianmu iaitu `Jauhkanlah dirimu dari godaan duniawi`!.
60. Jika kau ingin mula memasuki alam kesatriaan spiritual
fakta yang seharusnya menjadi pola pembawaan budi bahasa dan sopan santunmu
ialah: Taubat, Dermawan, Rendah hati, Bersikap damai, Jujur, Mohon pertunjuk,
Memberi dan menerima nasihat, dan Kesetiaan.
61. Berdakwah bertabligh itu kerja budiman islam. Menyuci
diri rohanimu jangan kau pandang ringan. Bunuhlah ular naga nafsumu dulu
sebelum mengajak orang menempuh jalanan pulang. Kalau kau sendiri kecundang
bagaimana kau hendak mengajar dan mengajak seseorang kepada kecermerlangan
iman, Islam dan ihsan ? sementara engkau sendiri masih tak mengerti jalanan ?.
62. Jika sungguh engkau satria spiritual bunuhlah ular naga
mu itu (Nafsu ruhani). Menjadilah engkau singa Allah sejati. Jangan jadi singa
hawa nafsu kerana segala perbuatan menjadi saksi agama mu. Moga kau dapat
bersatu kembali dengan `Al-Imaamul Mubin` (alter-ego) di situlah lautan jiwa
(Ruhul Adzim) tempat keutuhanmu yang semula di mana engkau bermandi dunia
cahaya dari Cahaya Asli Sejati.
Allah Tuhan Yang Maha Tinggi berfirman, `Aku adalah teman
bagi orang yang mengingat-Ku dan Aku bersama hamba Ku ketika ia mengingati Ku
dan menyebut Asma`Ku` (Hadits kudsi).
Rasulullah pula ada bersabda, `Aku adalah kota ilmu dan Ali
adalah gerbangnya` Maka bagaimanakah kita dapat melewati gerbang dan memasuki
kotanya untuk mendapatkan khazanah kekayaannya serta menikmati keindahan
istananya kalau tidak dibunuhkan dulu ular naga dan singa nafsu yang menerkam
di jalanan kita ?
63. Oh, sahabatku dan diriku, janganlah malu untuk menerima
sesuatu kata-kata `kebenaran` walau pun dari seorang anak kecil atau pun saekor
anjing kurap di jalanan. Jika sungguh engkau arif membaca kitabul alam ambillah
dari padanya apa sahaja `kebenaran` itu dan muliakanlah dia kerana setiap
kebenaran itu adalah perkara mulia di sisi Tuhan Al-Haq.
70. Sahabatku, percayalah segala sesuatu memiliki aspek
zohir (asma`az-Zohir) dan batin (asma` al-Bathin). Maka musyahadah adalah suatu
proses yang penting dalam bertauhid iaitu memandang kepada yang lahir menuju
yang bathin.
71. Rasulullah s.a.w. itu laksana mutiara antara bebatuan.
Ialah model universal bolehkah kita tiru satu daripada tingkah lakunya yang
indah dalam perjalanan spiritual ? Iaitu ketika sahabat beliau berbicara ia
diam memberi penuh perhatian dan setiap orang Islam yang dijumpanya
diberikannya salam. Jika itu pun tidak dapat kita lakukan bagaimana mahu ikut
jalanan beliau dalam kerohanian ?
72. Sahabatku, nyanyikan lagumu (zikir thariqatmu) yang
boleh menjadi makanan jiwa dan rasa sakral mu. Nanti engkau memasuki suatu
wilayah jiwa (zauk) yang boleh engkau mendengar suara lain dari singgahsana
Abadi iaitu tatkala wilayah jiwamu terbuka pada dimensi batin yang menuju pada
suatu perjumpaan (makrifat) kehadiran Tuhan.
73. Fahamilah sahabatku, sungguhpun Tuhan itu pada ideanya
transedensi namun Tuhan bertakhta jua pada pusat batinmu `dengan cara-Nya yang
tersendiri – sebab zat Tuhan bukanlah benda sepertimu`. Ingatkah kata-kata
Rasulullah s.a.w. iaitu, ‘Qalbu mukminin baitillah` maksudnya `Hati orang
mukmin itu rumah Allah` tidakkah begitu maknanya-?.
74. Wahai tuan saudara yang kukasihi dengarlah umpamaan
hamba ini, Kaabah itu umpamanya hati kita manusia, berhala-berhala yang
mendiaminya sebelum dibersihkan oleh Rasulullah s.a.w. itu ibaratnya hawa nafsu
yang tertanam dalam hati kita yang menghalangi untuk ingat kepada Tuhan Yang
Suci.
Oleh itu penghancuran berhala-berhala itu adalah wajib
supaya yang wujud hanya satu iaitu Yang Wajib dalam hati kita. Maka penyucian
hati demi tauhid ialah dengan bersaksi dan menyedari `Tiada Tuhan Melainkan
Allah`. Namun kesedaran batin seorang muslim sejati ialah kehadiranNya yang di
dasarkan pada rasa `Ketidak terbatasan` dan menolak semua objektivikasi
terhadap Tuhan. Walaupun begitu sedarlah tuan bahawa `Mihrab` itu merupakan simbul
dari kehadiran Tuhan.
75. wahai kawan, Tuhan kita Yang Maha Penyayang terlalu
dekat `Lebih dekat dari urat leher kita’. Ia terlalu baik memberikan kita
berbagai kenikmatan. Tapi ia juga menggerakan setiap zarah alam dan meliputi Ia
akan segala sesuatu. Maka hendaklah kita banyak bersyukur dan takwa kepada-Nya
selalu.
75. Saudaraku, Ruhmu dan Ruhku sedia kalanya memang
mempunyai fitrah. Di sebut juga fitrah al-munazzalat. Ia suci dan ialah yang
disebut `Amar Rabbi` seperti firman Tuhan Yang Mulia `Katakan ruh itu termasuk
urusan Tuhan ku` (QS,Al Isra` 17:85). Oleh yang demikian inginku tegaskan
`pangkal iman dan ilmu ialah Zikirullah (Ingat kepada Allah)’.
76. Oleh itu jika kau dan aku boleh memunculkan kejiwaan
yang baik dan mulia mengikut fitrah al-munazzalat itu maka akhlakmu akan selari
dengan perintah Al-Quraan. Kerana jika sungguh-sungguh engkau berjalan dengan
fitrah al-munazzalat itu, engkau dapat membaca rahsia-rahsia ghaib
(bermukasyafah) melalui pancaran cahaya murnimu saperti sabda Rasulullah
s.a.w., `Bahawa firasat orang mukmin, sesungguhnya ia melihat dengan cahaya
Allah’ (HR.At Tirmizi).
77. Oleh itu sebenarnya apa-apa pengetahuan kebaikan dan
kejahatan yang tersebut di dalam Al-Quran yang suci sudah ada gambarannya dalam
fitrah ruhmu yang sejati yakni jiwa sucimu. Oleh itu rujuklah selalu Al-Quraan
kerana ia memperkuatkan lagi keyakinanmu kepada kebenaran Tuhan dan kebenaran
RasulNya dan kebenaran kata-kata ku ini.
Firman Allah , `…demikianlah, supaya kami perkuatkan hatimu
dengannya` (AL-Quran:25:32.)
sumber :https://jiwa2kegelapan.wordpress.com
Komentar
Posting Komentar